Kidxy Team – May 22, 2018 at 03:10 pm

Tips Berpuasa Untuk Anak Anda

Published on 22 May, 2018

Ibu bapa adalah contoh teladan yang baik untuk anak-anak. Maka, tidak hairanlah apa yang dilakukan oleh anda akan menjadi ikutan mereka termasuklah berpuasa. Walaupun tidak wajib untuk mereka berpuasa, ia adalah satu latihan yang bagus bagi mempersiapkan mereka untuk masa hadapan.

Memandangkan cuaca di Malaysia agak panas, anak-anak anda mungkin terdedah kepada dehidrasi dan juga kekurangan nutrisi. Jadi adalah penting untuk anda mengawasi pengambilan nutrisi yang seimbang untuk mereka pada bulan Ramadhan. Berikut adalah tips yang boleh anda cuba untuk membantu anak anda berpuasa!

Mulakan secara berperingkat

Ia amat penting untuk memulakan amalan berpuasa secara berperingkat agar tubuh anak-anak anda dapat membiasakan diri dengan corak pemakanan yang baru. Bagi mereka yang berusia 10 tahun kebawah, adalah digalakkan untuk mula berpuasa bermula dari selepas waktu sarapan sehingga waktu makan tengahari. Kemudian, sedikit demi sedikit waktu berpuasa itu dilanjutkan sehinggalah mereka mampu untuk berpuasa sepenuhnya. Pada waktu ini, ibu bapa harus mengawasi pengambilan cecair serta kalori yang mencukupi untuk anak-anak.

2)      Menu berkhasiat ketika sahur dan berbuka


Semasa bersahur, anak-anak perlulah mengambil hidangan yang tinggi protein seperti lepa kacang, keju rendah lemak ataupun susu. Anak-anak juga perlu mengambil hidangan tinggi serat seperti sayur-sayuran serta buah-buahan selain daripada mengambil hidangan yang tinggi protein. Nutrisi yang terdapat dalam protein dan serat dapat membekalkan tenaga untuk anak-anak anda menjalankan ibadah puasa. Selain itu, mereka juga digalakkan untuk minum air suam yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi. Antara hidangan yang boleh anda hidangkan ialah bijirin sarapan pagi bersama susu segar.

Semasa berbuka, anak-anak anda digalakkan untuk berbuka puasa dengan kurma, sup, susu, jus atau air suam. Kurma merupakan sumber serat yang bagus, manakala sup kekacang pula dapat memberi nutrisi serta kaya dengan kandungan yang baik untuk mengekalkan hidrasi. Selain itu, hidangan seperti salad juga sesuai diambil ketika berbuka kerana ia kaya dengan serat, mineral dan vitamin yang dapat membantu untuk mengelakkan masalah sembelit. Antara hidangan yang lengkap ialah nasi ayam panggang Bersama daun salad.

3)      Makanan yang harus dielakkan


Terdapat beberapa hidangan yang harus anda elakkan daripada memberi kepada anak- anak anda ketika bulan puasa. Hidangan-hidangan seperti berikut mungkin mendatangkan masalah kesihatan kepada anak-anak anda.

  • Makanan ringan serta minuman berkarbonat boleh menyebabkan kembung perut serta masalah pencernaan.
  • Makanan yang tinggi kandungan gula arus dielakkan kerana ia tidak memberi nutrisi yang diperlukan.
  • Jauhi makanan yang tinggi kandungan garam kerana ia akan mengakibatkan kehausan ketika berpuasa.
  • Beberapa makanan lain yang harus dielakkan adalah makanan pedas, bergoreng, berlemak serta makanan yang diproses.

Sebagai rumusan, ia adalah penting untuk anak-anak anda mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dengan nutrisi yang mencukupi serta perbanyakkan pengambilan air suam. Akhir kata, semoga anda dapat membantu anak-anak untuk menjalani ibadah puasa dengan baik!

Posted in Activities

  • Fun
  • Weekends
  • Workshop
  • Craft

Share this article:


people liked this article!

Leave a comment