Kidxy Team – June 05, 2018 at 11:52 am

5 Menu Pilihan Di Bazar Ramadhan

Published on 05 June, 2018

Sudah lebih dua minggu kita berpuasa dan yang sentiasa menjadi persoalan setiap kali berpuasa ialah “nak makan apa untuk berbuka?”. Bukan kerana malas untuk memasak tapi atas kesibukan kerja, ramai antara kita yang memilih untuk membeli juadah berbuka di bazar. Ia juga boleh menjadi salah-satu cara untuk anda membawa anak-anak anda untuk keluar bersiar-siar.

Walaupun terdapat pelbagai pilihan juadah di bazar, namun lima juadah berikut adalah yang paling digemari oleh rakyat Malaysia apabila tibanya bulan Ramadan.

Soya Cincau


Dugaan paling besar ketika berpuasa di Malaysia ialah cuacan yang sungguh panas. Maka, tidak hairanlah ramai peniaga memilih untuk menjual air minuman pelbagai aneka. Antara minuman yang paling terkenal ketika bulan Ramadan ialah air soya.  Namun, soya yang dijual pada bulan Ramadan sedikit berbeza kerana ia dihidangkan bersama cincau. Tidak lengkap juadah berbuka rasanya jika tidak ada hidangan soya cincau yang sejuk sebagai penghilang dahaga ketika berbuka. Sedap!

Murtabak


Ada antara kita yang memilih untuk berbuka dengan hidangan yang lebih ringan bagi memudahkan diri untuk mengerjakan solat maghrib. Selepas selesai solat tarawikh, barulah kita menjamu hidangan yang lebih berat. Oleh itu, murtabak menjadi pilihan ramai kerana juadah ini tidaklah seberat hidangan nasi berlauk namun cukup untuk mengalas perut. Murtabak kebiasaannya dimakan bersama kuah dal atau kari dan bawang. Malah terdapat juga murtabak yang ditambah keju! Wah, perut berbunyi pula teringat pada murtabak cheese

Ayam Golek


Jika anda ke bazar Ramadan, pastinya aroma dari ayam golek antara yang menarik perhatian anda. Ia menjadi juadah pilihan bagi mereka yang ingin mengurangkan pengambilan nasi di bulan Ramadan ini. Ayam golek sering dihidangkan bersama aneka sos dan yang menjadi kegemaran kami ialah sos lada hitam! Rasa manis ayam serta rasa pedas sos lada hitam merupakan kombinasi yang sememangnya sedap. Jangan terliur pula ya!

Tepung Pelita


Semestinya kita inginkan sesuatu yang manis ketika berbuka dan salah satu kuih tradisi yang dicari-cari ketika bulan Ramadan ialah kuih tepung pelita. Jika anda peminat kuih tepung pelita seperti kami, anda pastinya biasa melihat kuih tepung pelita paya jaras yang terkenal di kalangan peminat kuih tepung pelita kerana rasanya yang cukup lemak manis! Tips untuk menikmati tepung pelita dengan kepuasan maksimum ialah untuk sejukkannya dahulu. Cubalah dan anda pasti akan jatuh cinta!

Nasi Kerabu


Apa yang paling menarik tentang nasi kerabu ialah nasinya yang berwarna biru. Nasi kerabu selalunya dihidangkan bersama ulam-ulaman, sambal serta daging salai mahupun ayam percik. Jadi tidak perlulah kita memikirkan lauk apa untuk dimakan kerana semuanya sudah tersedia dalam satu hidangan. Bagi mereka yang tidak biasa makan hidangan ini, cara untuk menikmatinya adalah dengan menggaulkan kesemua ulam-ulaman beserta sambal dengan nasi dahulu. Kemudian barulah anda makan nasi tersebut dengan hidangan sampingan yang lain.

Tidak kisahlah apa pun juadah kegemaran anda dan anak-anak, apa yang penting ialah kita harus elakkan pembaziran di bulan yang mulia ini.

Selamat berpuasa dan semoga anda dapat memanfaatkan malam-malam terakhir pada bulan ini!


Posted in Activities

  • Fun
  • Weekends
  • Workshop
  • Craft

Share this article:


people liked this article!

Leave a comment