Faiz From Kidxy – June 11, 2018 at 09:50 am

Balik Kampung Bersama Anak Kecil

Published on 11 June, 2018

Apabila tibanya musim perayaan, perkara yang kita nantikan adalah untuk pulang ke kampung halaman. Kegembiraan berkumpul bersama keluarga di kampung halaman merupakan perasaan yang sukar untuk digambarkan. Namun, pastinya menjadi dilema bagi mereka yang mempunyai anak kecil untuk pulang ke kampung, tambahan perjalanan pulang ke kampung jauh dan memakan masa yang lama. Keselesaan anak kecil, penumpang lain serta pemandu sentiasa menjadi persoalan sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Berikut adalah beberapa tips untuk anda merancang perjalanan pulang ke kampung halaman bersama si kecil.


       1.  Keadaan Kenderaan 

Sebelum memulakan perjalanan, anda harus memastikan kenderaan anda berada dalam keadaan paling baik. Hantar kenderaan untuk pemeriksaan serta servis supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku sewaktu perjalanan pulang. Anda juga tidak mahu pendingin hawa kenderaan anda rosak sewaktu dalam perjalanan! Tambahan pula keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

 

2. Keperluan yang cukup untuk si kecil

Bagi perjalanan yang jauh, adalah penting untuk anda menyediakan keperluan si kecil dengan cukup. Ini termasuklah lampin pakai buang, susu, makanan bayi dan lain-lain. Ibu bapa juga harus peka terhadap tahap kesihatan anak anda dan jika anak anda memerlukan bantuan perubatan, sila pastikan ubat-ubatan tersebut dibawa bersama. Keselamatan si kecil juga perlu diambil perhatian dengan menyediakan tempat duduk khas bayi. Ini amat penting kerana telah banyak kemalangan yang berlaku dimana bayi yang tidak menggunakan tempat duduk khas bayi maut akibat tercampak keluar dari kenderaan.


3. Maklumat Trafik

Bagi memudahkan perjalanan anda, semak terlebih dahulu maklumat trafik untuk jalan-jalan utama yang menghala ke destinasi anda. Ini dapat membantu anda untuk merancang perjalanan dengan lebih baik dan efisien. Aplikasi telefon pintar percuma seperti Waze sangatlah membantu jika berlaku kesesakan. Ini kerana aplikasi tersebut dapat memberikan laluan alternatif kepada anda untuk meneruskan perjalanan ke destinasi. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan info trafik melalui laman-laman seperti Plus Trafik, Twitter Plus Trafik dan Twitter LPT Trafik.


4. Patuhi Peraturan Jalan Raya

Semasa memandu ke destinasi anda, sila patuhi peraturan jalan raya agar tiada sebarang kejadian yang tidak diingini akan berlaku. Jika berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan di lebuh raya, anda boleh menghubungi talian Plusronda 1-800-88-0000. Telefon kecemasan Plus Malaysia Berhad juga tersedia di setiap 2km sepanjang lebuh raya.

5.       Gunakan Hentian Rehat

Bagi anda yang memandu ke destinasi yang jauh, anda dinasihatkan untuk menggunakan hentian rehat yang disediakan untuk berehat serta membuat sedikit pemeriksaan pada kenderaan anda. Hentian rehat menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas awam, bilik mandi, surau serta banyak lagi untuk membolehkan anda menyegarkan diri sebelum memulakan perjalanan semula. Pastikan kenderaan anda juga masih dalam keadaan yang baik sebelum meneruskan perjalanan untuk memastikan anda tiba ke destinasi dengan selamat.

Semoga tips di atas dapat membantu anda merancang perjalanan pulang anda.

Kami di Kidxy.com juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, dan berharap anda tiba di kampung halaman dengan selamat!

Posted in Activities

  • Fun
  • Weekends
  • Workshop
  • Craft

Share this article:


people liked this article!

Leave a comment