Kidxy Team – June 27, 2018 at 05:08 pm

Tips Pengurusan Wang Untuk Anak Anda

Published on 27 June, 2018

Tabiat penggunaan wang dalam kalangan kanak-kanak seelok-eloknya diasah seawal usia 7 tahun. Kepentingan ilmu kewangan dalam kalangan anak-anak kecil perlu diterapkan seawal usia pra-sekolah lagi. Ini supaya golongan cilik ini membesar menjadi individu yang bijak berbelanja, sekali gus mampu menguruskan kehidupan mereka dengan baik. Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mendidik anak anda menjadi seorang yang bijak dalam menguruskan wang.

  1. Menabung

Perkara pertama yang harus anda terapkan dalam diri anak anda adalah memupuk amalan menabung dari mereka kecil lagi. Dengan adanya amalan ini, secara tidak langsung anda boleh menyemai tabiat berjimat cermat dan mendidik anak-anak anda untuk tidak boros dalam berbelanja. Terdapat pelbagai jenis tabung yang dijual di pasaran. Kalau boleh, belikan mereka tabung yang lutsinar (transparent) supaya mereka dapat lihat sendiri hasil simpanan wang mereka yang menjadi semakin banyak setiap hari. Selain itu, elakkan dari menukar duit tabungan mereka kepada wang kertas nilai tinggi. Biarkan sahaja wang-wang nilai kecil di dalam tabung itu sampai penuh. Ini akan membuatkan mereka lebih rajin untuk menyimpan. Apabila tabung itu sudah penuh, barulah bawa ke bank untuk disimpan ke dalam akaun mereka.

  1. Mason Jar

Didiklah anak-anak anda untuk berbelanja secara berhemat sejak kecil. Salah satu cara yang anda boleh lakukan adalah dengan menggunakan kaedah Mason Jar. Mason Jar merupakan satu teknik pembahagian wang mengikut keperluan yang mana wang anak anda akan dibahagikan kepada tiga bahagian untuk 3 tujuan yang berbeza. Bahagian yang pertama adalah tabung simpanan, yang kedua adalah tabung untuk berbelanja dan yang ketiga adalah tabung untuk menderma kepada golongan yang kurang bernasib baik. Kaedah ini akan mengajar anak-anak untuk menguruskan wang mereka sendiri. Pada masa yang sama, anak anda juga dapat belajar nilai memberi dan berkongsi dengan menderma kepada golongan yang kurang bernasib baik.

  1. Menunjukkan contoh teladan yang baik

Anda mempunyai pengaruh yang besar pada anak-anak anda. Justeru, kecenderungan untuk mereka meniru tindakan anda adalah tinggi. Oleh itu, menunjukkan contoh tabiat penggunaan wang yang baik kepada anak anda adalah sangat penting. Antara perkara yang anda boleh lakukan adalah dengan mengehadkan jumlah perbelanjaan anda dengan berbelanja secara bersederhana semasa membeli-belah dan membandingkan harga produk yang sama di kedai yang berlainan. Ini dapat mengajar anak anda bagaimana faktor-faktor ini mempengaruhi keputusan anda untuk membeli sesuatu.

  1. Elakkan membeli secara spontan

Adakah anak anda pernah meminta anda untuk membelikan mainan baru semasa membeli-belah hanya sebab ianya kelihatan menarik dan baru? Pembelian secara spontan merupakan satu fenomena yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya apabila mereka tahu bahawa ibu bapa mereka akan membelikan permainan yang mereka mahukan. Daripada anda mengalah kepada kemahuan anak anda, lebih baik anda memberitahu anak anda bahawa mereka boleh membeli barangan tersebut dengan syarat mereka harus menggunakan wang simpanan mereka sendiri. Selain itu, anda juga boleh menetapkan had penggunaan wang simpanan mereka. Contohnya, anda hanya akan membenarkan anak anda untuk membeli barangan tersebut sekiranya harga barang tersebut kurang daripada RM30.

  1. Penggunaan Aplikasi Belanjawan

Oleh kerana ini adalah zaman di mana kanak-kanak banyak meluangkan masa mereka pada telefon mudah alih (smartphone) mereka, anda boleh memuat turun aplikasi belanjawan seperti Bankaroo, Kids Money dan Allowances & Chores Bot. Aplikasi ini sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang berumur 7 tahun dan ke atas kerana pada usia ini mereka sudah mempunyai sikap bertanggungjawab dalam diri mereka. Aplikasi mudah alih seperti ini akan membantu anda memantau perbelanjaan anak-anak anda. Di samping itu, ia juga dapat membantu mengajar anak anda memantau dan mengawal perbelanjaan mereka sendiri. Ini justeru akan memberikan anak anda  kebebasan untuk menetapkan perbelanjaan mereka dan seterusnya  mengajar mereka cara yang terbaik untuk menguruskan kewangan mereka sendiri  usia muda.

Posted in Activities

  • Fun
  • Weekends
  • Workshop
  • Craft

Share this article:


people liked this article!

Leave a comment